
Siti Saleha
HARI berganti hari, minggu berganti minggu. Aku menjalani kehidupanku seperti biasa. Masih menjalani praktikal di hospital yang sama. tiada apa yang menarik yang berlaku pada diriku buat beberapa ketika ini. Faqqih dan Fizrul seakan menyepikan diri. Aku pula tidak banyak bertanya. Ironinya, mereka berdua seakan sudah berjanji untuk melancarkan perang dingin terhadapku. Ah, tapi biarlah.
“Sal dapat cuti seminggu. Mula cuti lusa. Sal ingat nak balik kampung.. Nak lepaskan tension.” Aku menyuarakan hasrat hatiku kepada Kak Long saat Kak Long sedang khusyuk menonton drama Korea yang bertajuk Yuhee The Witch.
Bagiku, drama dari Korea memang banyak yang berkualiti, tetapi ada juga sesetengah karyawan di Malaysia, sama ada penulis skrip atau novelis yang menciplak idea asal drama dari Korea itu. Ketandusan idea untuk mengarang cerita? Mungkin juga.
“Eh, boleh pulak Sal cuti? Bukan kerja-kerja kat hospital tu banyak ke?” Kak Long mengerutkan dahinya, hairan. Aku tidak menjawab pertanyaan Kak Long, sebaliknya aku hanya sepi tanpa kata.
“Kak Long nak ikut Sal tak?” Aku terus bertanya pada Kak Long, Kak Long terdiam sejenak. Mungkin sedang berfikir. Aku membiarkan keadaan Kak Long buat beberapa ketika. Biarlah Kak Long membuat keputusan.
Kak Long memegang dagunya seraya tersenyum kelat. “Kalau ikutkan hati Kak Long, memang Kak Long nak balik sekali. Tak acilah Sal dapat cuti, tapi Kak Long kena kerja..” Rungut Kak Long, tidak berpuas hati. Aku ketawa lepas.
“Nak buat macam mana, Kak Longkan guru cemerlang.. So kenalah struggle kerja betul-betul untuk kekalkan gelaran tu..” Aku tertawa lagi. Kak Long menarik muncung sedepa.
“Kak Long nak jugak rehat lama-lama dekat kampung. Pak Cik Nathan dekat kampung tu dah tunggu Kak Long untuk packing ikan kering dekat rumah dia..” Ujar Kak Long lagi. Aku menahan gelak. Apalah Kak Long ini, setakat kerja membungkus ikan kering di kampung pun sudah menjadi satu masalah yang serius baginya.
“Bulan 12 nanti Kak Long dapat cuti lagi lama dari Sal okey..” Aku mengingatkannya. Kak Long tersenyum-senyum.
“Harap-harap tahun ni tak ada jaga peperiksaan..” Kak Long memohon doa. Aku ketawa lagi. Ada-ada sahajalah Kak Long ini.
“Kalau ada tu, pasrah ajelah Kak oi..” Aku mengusik Kak Long lagi.
“Erm, Sal tak beritahu Kak Long lagi macam mana Sal boleh dapat cuti...” Aku mengulum bibir saat Kak Long bertanya.
“Sal sendiri tak tahu. Memang semua yang praktikal dapat cuti. Jangan tanya Sal kenapa. Kalau boleh Sal memang nak habis cepat-cepat buat praktikal kat sana..” Keluhku. Kak Long sekadar mengangguk. Aku bangun dari tempat dudukku, lantas melangkah ke tingkat atas.



